Saturday, December 18, 2010

tHe m0st hUrt tHinG iN mY LifE

Rasa sedih dan kecewa akibat CINTA ibarat terkurung di dalam ruang gelap yang tertutup. Sedikit demi sedikit udara di ruangan itu akan kehabisan tatkala kenangan manis bersama orang tersayang semakin mengasak ingatan dan minda. Air mata akan mudah mengalir bila emosi mula menguasai diri. Menzahirkan kesedihan hati yang sudah tidak tertanggung lagi. Berharap segala kenangan dan derita pergi bersama-sama air mata yang mengalir.

   Kalaulah semudah itu menghapuskan kenangan, kalaulah semudah itu membuang segala derita di hati, sudah tentu aku tidak akan menderita sebegini. Mencintai seseorang yang tidak mencintai diriku adalah hakikat yang begitu pahit untuk ditanggung. Manakala, merindui seseorang yang merindui orang lain adalah kenyataan yang begitu pedih untuk disimpan.

   Aku selalu membayangkan sebuah percintaan yang suci, tulus, dan ikhlas. Imaginasi yang selalu aku bayangkan begitu indah sehingga aku lupa akan realiti sebuah kehidupan. Sesungguhnya, percintaan yang indah itu hanya wujud dalam imaginasi dan tidak akan pernah menjadi sebuah reliti.

   Realiti kehidupan aku sendiri tidak pernah dihiasi dengan keindahan cinta yang selalu aku bayangkan. Kisah cinta aku tidak seperti kisah cinta orang lain. Kisah cinta aku tidak seperti yang aku selalu bayangkan. Kisah cinta aku hanyalah sebuah kisah cinta yang tidak mendapat balasan. 

   Sepanjang 20 tahun kehidupan aku ini, 2 kali perasaan cinta mengetuk pintu hati aku. Dan, kedua-dua perasaan itu hanyalah rasa cinta sebelah pihak. Kelakarkan? Tapi, itulah yang sebenarnya, aku mencintai insan yang tidak pernah sedetik pun di hatinya mencintai aku. Inilah pengalaman cinta yang mengajar aku bahawa mencintai seseorang itu bukanlah suatu perasaan yang indah. Mencintai seseorang itu sangat menyakitkan, hati ini seperti dihiris belati yang sangat tajam. Tapi, setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza. Berdasarkan pengalaman cinta masing-masing.

    Pada saat ini, hati aku masih lagi mencintai orang yang tidak pernah mencintai aku, malahan orang yang aku cintai sangat membenci diriku. Aku sedar akan hal itu, tapi hati ini masih lagi degil untuk terus mencintainya. Ketika ini aku sangat merindui insan yang membenciku. Aku sedar akan kebodohan diriku ini, tapi apakan daya cinta ini sentiasa menafikan kebenaran akal dan fikiran aku. Aku tidak mahu menjadi hamba cinta! Tapi aku tidak kuat untuk melawan kuasa cinta. Apabila berhadapan dengan cinta, hati ini lemah.

    Tetapi, aku bersyukur ke hadrat Ilahi. Kerana telah menjadikan aku manusia yang berperasaan. Walaupun cinta telah melemahkan aku, tapi cinta tidak akan pernah dapat menggadai maruah aku! Maruahku sebagai wanita Islam, tidak akan pernah tergadai atas nama cinta. Aku rela mencintai tanpa dicintai, jika ia dapat menjaga maruahku. Walaupun hati  aku sentiasa menafikan kebenaran akal dan fikiran, hati aku masih kuat untuk menjaga maruahku. 

    Apa yang aku rasakan ini, hanyalah ujian daripada ALLAH SWT. Dia menguji kekuatan cintaku pada-Nya. Oleh itu, Dia sentiasa mengujiku tepat dihatiku. Aku sentiasa bermohon pada-Mu ya ALLAH SWT, jadikanlah aku wanita yang tabah dalam mengharungi setiap ujian dan cubaan-Mu. 

No comments:

Post a Comment